Horizon Timur

Discourse polemics mainly in Malaysia

Pick of The Day :: Jan. 12 2008

with 2 comments

Kontrak sosial jadi asas negara

Oleh: AHMAD ATORY HUSSAIN
KENYATAAN PM, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Parlimen (Utusan Malaysia 12 Disember 2000) sebagai menjawab pertanyaan daripada seorang Ahli Parlimen DAP – Kota Melaka merupakan suatu natijah bahawa jika benar bagai dikata oleh pihak yang menuntut tersebut, maka alamat honarlah negara jadinya, gerhanalah segala rupa pembangunan negara yang telah dibina selama ini.

Aliran pemikiran tersebut menampakkan sudah wujud unsur-unsur kefanatikan, kemelampauan, kealpaan akan sejarah perpaduan suka duka kaum di negara ini.

Saya terpanggil untuk menyebut di sini bahawa seingat saya sebelum pilihan raya umum 1969, beginilah keadaan politik negara, penuh dengan maki hamun daripada parti-parti pembangkang, tuntutan demi tuntutan di pihak pembangkang kaum Cina, sentuh-menyentuh terhadap hak-hak istimewa orang Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan sebagai sebahagian daripada kontrak sosial, terhadap kedaulatan bahasa Melayu, dan pelbagai perkara yang menyentuh hati nurani bangsa Melayu. Seolah-olah orang Melayu dan kerajaan yang didokongi oleh orang Melayu ini tidak melakukan kebaikan kepada golongan-golongan ini.

Kecenderungan ini saya perhatikan melanda di saat-saat parti pemerintah berada di dalam keadaan sedikit ‘ribut cawan kopi’, maka suara-suara sumbang di pihak pembangkang lazimnya mengambil kesempatan daripada panaroma politik tersebut.

Kita berharap rakyat yang rasional dan terpelajar tidak terpedaya dan terperangkap dengan politik sempit pihak-pihak tertentu yang selama-lamanya tidak mahu mengakui akan kemajuan dan keadilan sosial yang dicapai oleh rakyat dan kerajaan.

Mereka fikir kerajaan yang ada sama seperti kerajaan-kerajaan bankrap, bangsat dan bobrok seperti di sesetengah negara Amerika Latin, Afrika atau di beberapa buah negara Asia yang tidak ada kerja lain asyik bergaduh dan berperang merebut kuasa. Di Malaysia adalah unik. Unik bererti berlainan daripada yang lain. Rakyat Malaysia perlu rasional dan membuka mata seluas-luasnya.

Kita faham bahawa rakyat Malaysia ramai yang pernah belajar pelbagai bidang dan dari pelbagai negara. Ada bidang sains, jurutera, sastera, sains sosial, pengurusan. Ada belajar di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Jepun dan negara-negara Arab.

Tetapi bila pulang dari belajar dan tiba di Malaysia, mereka seharusnya menyesuaikan diri dengan budaya dan alam politik serta sosial negara ini.

Saya menyentuh hal ini kerana ramai yang menganggap Malaysia perlu mengikut cara dan pendekatan atau stail seperti AS, UK atau China, Jepun.

Tetapi, tidak ramai daripada mereka yang mahu mengakui akan hakikat bahawa Malaysia adalah lain daripada yang lain. Malaysia bukan Arab, bukan UK atau AS. Sistem politiknya lain, sistem budaya dan masyarakatnya ganjil.

Keganjilan-keganjilan dan kelainan-kelainan ini yang telah memberi kita asas yang kuat untuk membangunkan negara. Bukan bermakna kelainan kita itu membawa keruntuhan. Kemungkinannya jikalah wujud persamaan dengan negara Barat ia boleh pula membawa keruntuhan dan kemusnahan kepada negara ini.

Barangkali tuntutan-tuntutan Suqiu ini langsung tidak mempedulikan latar belakang negara dan proses sejarah pembentukan masyarakat Malaysia. Saya suka menurunkan semula kelainan-kelainan negara kita.

Yang pertama, negara ini adalah bernama Tanah Melayu, atau Malaya, dulu dipanggil Semenanjung Emas oleh kerajaan Chola dan Seri Wijaya. Dahulunya penduduknya adalah terdiri daripada orang Melayu yang datang dari seluruh pelosok alam Melayu. Alam Melayu bermakna seluruh kepulauan Nusantara yang terdiri daripada Indonesia, Filipina dan kepulauan Borneo. Tidak terdapat bukti bahawa orang Cina pernah menjadi pemerintah kerajaan-kerajaan lama di alam Melayu. Bermakna orang Cina dan India adalah yang datang dengan ramainya dan sebahagian besarnya dibawa oleh Inggeris ke negara-negara alam Melayu termasuk Tanah Melayu.

Dari segi politik bernegara, di alam Melayu terdapat tiga buah negara berdaulat iaitu Indonesia, Malaysia dan Brunei, manakala Singapura yang mana politiknya didominasi oleh orang Cina kerana penduduknya lebih ramai daripada orang Melayu.

Dari segi sejarah politik, Malaysia dijajah beratus tahun oleh penjajah Barat dan akhirnya menjadikan Malaysia negara majmuk. Kesannya, orang Melayu merupakan masyarakat yang ketinggalan dalam serba-serbi kerana kesan penjajahan tersebut. Untuk hidup, orang Melayu bertolak ansur dengan orang Cina dan India kerana mereka tidak mahu bergaduh dan berperang untuk membebaskan kehadiran kaum-kaum mendatang ini.

Kontrak sosial dibuat agar semua kaum mendapat hak masing-masing seperti bahasa ibunda masing-masing dipraktikkan, hak ekonomi, hak politik dan hak pendidikan. Seperti yang sering disebutkan oleh pemimpin Malaysia, rakyat daripada semua kaum terpaksa hidup di dalam keadaan kemajmukan ini. Rakyat terpaksa mengakui hakikat untuk hidup di dalam suasana berlainan sebelum kedatangan kaum mendatang. Maka itu, kita akui memang tidak boleh diwujudkan kebebasan seratus-peratus untuk berpolitik, bersosial dan berekonomi kerana semua kaum terpaksa hidup berkongsi dan menjaga hati semua kaum.

Inilah realiti hidup di Malaysia. Orang Melayu tidak boleh hidup seperti di Acheh atau di Sulawesi. Orang Cina atau India tidak boleh bermimpi untuk hidup sama seperti di negeri China atau India.

Kaum Cina atau India tidak dapat melakukan sesuatu sama seperti di negeri China dan India seperti bebas itu bebas ini. Namun begitu, tentang hak asasi tetap ada. Hak bersekolah bahasa ibunda, berbudaya sendiri, berbahasa sendiri, beribadat, berpakaian sendiri, berhiburan sendiri dan apa sahaja seperti makan pakai cara sendiri. Begitu juga orang Melayu tidak boleh memonopoli semua perkara di negara ini, terpaksa berkongsi dengan kaum-kaum lain.

Memerintah negara menggunakan konsep Barisan Nasional (BN) yang berkongsi kuasa, ada menteri China, India, ada pegawai China dan India dan sebagainya. Pelajar-pelajar juga tidak boleh berdemonstrasi macam cara orang Indonesia atau Amerika. Ada sekatan dan had-hadnya.

Dari segi amalan agama begitu juga, tidak boleh menyentuh sensitiviti antara agama. Inilah yang menjadikan sesetengah orang merasa rimas tinggal di Malaysia kerana tidak dapat kebebasan seperti di Barat.

Mereka tidak mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tidak mahu Akta Rahsia Rasmi (OSA), tidak mahu bahasa rasmi, tidak mahu akta menyekat demonstrasi, pada hal demonstrasi adalah tindakan manusia yang habis akal sebenarnya.

Mereka tidak mahu dasar-dasar yang membantu kaum bumiputera, tidak mahu Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pelajaran Kebangsaan (DPK), Sekolah Wawasan dan tidak mahu sistem kuota kerana menyekat golongan yang ada merit.

Kita seharusnya insaf, bahawa demi survival, inilah negara kita semua tidak kira Cina, Melayu, India, Iban, Kadazan Murut, dan lain-lain. Demi survival, kita kena kunci sedikit nafsu untuk bertindak bebas macam orang Barat berpolitik atau orang Arab di negara mereka. Kita kenalah hidup secara yang sederhana.

Asal boleh hidup aman dan selesa, boleh bergerak ke sana ke mari, tidak ada pergaduhan antara kaum, tidak ada kacau di tengah-tengah jalan, ada makan pakai, boleh merayakan Aidilfitri, Gong Xi Fa Cai dan Deepavali, Hari Gawai, boleh pergi ke universiti, boleh melancong ke India atau China, Hongkong, Taiwan, boleh jadi menteri, wakil rakyat, hakim, askar, semua orang boleh tidak kira Melayu atau Cina dan India. Yang tidak boleh buat masa ini ialah menjadi PM atau Yang di-Pertuan Agong atau Ketua Setiausaha Negara atau Ketua Polis Negara atau Panglima Angkatan Tentera. Yang lain boleh. Apa hendak lagi?

Saya ingin bertanya, selama kita mencapai kemerdekaan 43 tahun yang lalu, adakah orang Cina merasa miskin dan melarat hidup mereka? Sedangkan dibandingkan dengan Melayu di Kelantan misalnya, berapa kerat orang Cina yang dhaif di negeri itu? Adakah dengan adanya hak istimewa orang Melayu selama ini orang Cina terhimpit hidup mereka? Adakah dengan adanya DPK dan DEB, orang Cina susah hendak mencari pekerjaan di negara ini? Saya ingin bertanya berapakah jumlah nilai harta orang Cina di negara ini? Saya fikir soalan ini sangat sensitif.

Saya kira dibandingkan dengan nilai harta orang Melayu, harta orang Cina jauh lebih banyak dan menimbun daripada nilai harta orang Melayu sendiri yang merupakan anak watan negeri ini sejak beribu tahun dahulu. Ingatlah, negara ini bukanlah sebuah pulau yang mana penduduknya merupakan kaum mendatang. Negara ini sudah berpenghuni lama sebelum kedatangan penjajah, kedatangan orang India dan Cina.

Oleh sebab asas pembentukan negara ini berpaksikan kepada kontrak sosial seperti bahasa kebangsaan sebagai penyatu kaum-kaum di negara ini, hak-hak istimewa Melayu dan juga hak-hak politik, ekonomi dan sosial kaum bukan bumi dijamin oleh perlembagaan, serta kerjasama parti-parti politik antara kaum-kaum terbesar melalui gagasan Barisan Nasional serta adanya pengiktirafan terhadap DPK dan DEB oleh pelbagai kaum semasa pembentukannya dahulu, maka dirasakan tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh pihak Jawatan kuasa Rayuan Pilihan Raya Suqiu itu amat tidak sesuai dengan semangat kerjasama dan muhibah antara kaum yang telah lama dibina.

Pada hemat saya, tuntutan Suqiu itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya. Soal pilihan raya tidak seharusnya dikaitkan dengan tuntutan-tuntutan tersebut. Pilihan raya ialah secara asasnya bertujuan membentuk kerajaan selama lima tahun sekali. Sedangkan asas-asas negara seperti kontrak sosial tersebut telah pun diwujudkan dan tidak perlu disentuh atau digunakan untuk tujuan memenangi dalam pilihan raya. Ada banyak cara dan pendekatan untuk memaju atau untuk menambahkan lagi pembangunan rakyat bukan dengan cara menghapuskan kontrak sosial tersebut.

Kita bimbang jika dihapuskan kontrak sosial tersebut, kemungkinan akan termusnah pula negara Malaysia yang telah dibangunkan itu. Kita juga bimbang, jika tuntutan Suqiu sudah melebihi suhu didih yang tidak dapat dikawal, orang Melayu pula yang akan membuat tuntutan mereka yang boleh membahayakan masa depan kaum-kaum lain di negara ini.

Apakah tidak yakin lagi kaum Cina terhadap kepimpinan Melayu di negara ini? Persoalan ini saya utarakan kerana semenjak kerajaan mencadangkan Sekolah Wawasan, semacam tidak percaya terhadap kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri Melayu. Sejak bila mereka tidak percaya? Selama ini semua dasar-dasar afirmatif kerajaan diyakini oleh mereka. Apakah keyakinan yang telah dibina 43 tahun itu telah terhakis kini?

PROFESOR Dr. Ahmad Atory Hussain
Dekan Sekolah Pembangunan Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Malaysia.

dipetik daripada : http://members.tripod.com/warisan_ku/16dis001.htm

Written by horizontimur

January 12, 2008 at 7:02 pm

2 Responses

Subscribe to comments with RSS.

  1. Suka saya membaca tulisan Prof. Dari apa yg saya perhatikan apa yg terjadi pada masa sekarang adalah ketidaksyukuran sesetengah pihak. Kononnya relevensasi kontrak sosial adalah hanya untuk keturunan nenek moyang mereka terdahulu.

    khairi

    February 17, 2008 at 11:55 pm

  2. saya ingin bertanya apakah kesan dari segi politik,sosial,dan ekonomi selepas penjajahan kuasa barat?

    ecah

    September 9, 2009 at 5:43 pm


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: