Horizon Timur

Discourse polemics mainly in Malaysia

Pick of The Day :: Dec. 18 2007

leave a comment »

Perundingan Belakang Tabir PAS-Umno? 

Berita tentang berlakunya perundingan-perundingan belakang tabir antara PAS dan Umno sungguh menarik perhatian – dan cukup mengasyikkan.

Dalam kerangka pemikiran politik perkauman (atau tawar menawar antara kaum) yang dominan di negara ini kini, saya kira tentulah banyak di kalangan mereka yang berfikir dalam kerangka gagasan “hegemoni Melayu” yang berasa sungguh senang dengan perkembangan ini.

Hubungan yang mesra di antara PAS dan Umno, dalam kerangka pemikiran mereka, hanya mun[g]kin bererti bertambah mantapnya “kesepaduan Melayu.” Dan mantapnya kesepaduan Melayu hanya mungkin bererti suatu kelebihan, suatu advantage, dalam percaturan politik tawar menawar antara kaum yang mencirikan politik negara ini.

Namun dalam sejarah semasa politik negara, ini bukanlah kali pertama perundingan PAS-Umno seperti ini pernah diusahakan.

Namun selalunya perundingan yang demikian itu telah diusahakan bukan demi gagasan-gagasan muluk dan jangka panjang sehubungan isu “perpaduan” Melayu-Islam, apa lagi kemantapan masa depan negara, tetapi demi kepentingan jangka pendek pihak-pihak yang terlibat, khususnya tujuan memperoleh sokongan dalam pilihanraya.

Sejak kemerosotan sokongan Melayu yang dialami Umno dalam pilihanraya tahun 1999 lagi, [Tun] Mahathir Mohamad dengan gigihnya telah berusaha untuk merapatkan hubungan PAS-Umno itu dan telah membuat pelbagai overtures terhadap [arwah] Fadzil Noor, Presiden PAS ketika itu.

Agak menarik juga dicatatkan bahawa pada waktu itu tokoh PAS yang kelihatannya paling giat terlibat dalam merundingkan usaha merapatkan dua parti itu ialah Nasharuddin Mat Isa (Setiausaha Agung), dan kini orang yang tampaknya paling terlibat adalah juga orang yang sama (Timbalan Presiden).

Kemuncak kejayaan inisiatif mengadakan kerjasama PAS-Umno itu adalah suatu perhimpunan “kesepaduan Melayu” yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (yang menganjurkannya secara bersama dengan ABIM) dengan “masalah Palestin” sebagai temanya.

Dalam perhimpunan itu Presiden PAS, Fadzil Noor, bertindak sebagai “penyampai ceramah” tentang sejarah perjuangan rakyat Palestin dan Presiden Umno, Mahathir Mohamad, berceramah tentang isu-isu yang lebih semasa sifatnya tentang perjuangan Islam sejagat dan hubungan peribadinya sendiri yang mesra dengan [arwah] Yasser Arafat.

Dan kini, berdasarkan imbasan kembali, kita lebih mengerti bahawa tujuan Mahathir yang sebenarnya mengusahakan perhimpunan itu ialah untuk mempertingkatkan citra kepimpinannya sendiri sebagai kepimpinan yang mendapat sokongan padu Melayu-Islam di Malaysia menjelang pertemuannya dengan Presiden Bush di Washington D.C.

Kepada orang Melayu yang men[g]anggap Bush sebagai memusuhi Islam pertemuan itu ingin digambarkannya sebagai suatu usaha berani mengemukakan keresahan umat Islam sedunia tentang isu Palestin, sedangkan kepada Bush pula Mahathir ingin mengemukakan citra dirinya sebagai pemimpin yang mendapat sokongan padu dari umat Islam yang sederhana (yakni bukan pengganas).

Dari imbasan kembali juga, kita kini tahu bahawa pertemuan dengan Bush itu amat penting, merupakan semacan pengiktirafan yang diperlukan bagi kepimpinannya yang masih meluas dipersoalkan di seluruh dunia, dan di kalangan orang Melayu sendiri, berikutan dengan tindakannya terhadap [Dato’ Seri] Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Begitu pentingnya pertemuan dengan Bush itu sehingga kita tahu kini bahawa kerajaan Malaysia, atau agennya, telah sanggup membayar berjuta-juta dolar kepada sebuah badan tangki pemikiran (think tank) dan badan lobi bagi mengaturkannya.

Nan[m]un ternyata bahawa segala usaha Mahathir itu tidak berhasil menyelamatkan kepimpinannya, sehingga dia terpaksa menarik diri daripada terus memimpin BN untuk pilihanraya tahun 2004 – dan Abdullah Badawi menang besar atas tiket penyimpangannya daripada kepimpinan Mahathir dan janji-janjinya untuk menyelesaikan pelbagai kebobrokan sosial yang telah dihasilkan oleh Mahathir.

Secara umumnya, hubungan PAS-Umno telah menjadi semakin renggang berikutan naiknya Abdullah Badawi ke puncak kuasa negara ini. Selain kemenangan Abdullah telah menyebabkan kemerosotan besar terhadap PAS dari segi politik pilihanraya, inisiatif Abdullah memperkenalkan konsep “Islam hadhari”nya juga dilihat sebagai suatu cabaran terhadap kredential PAS sebagai parti Islam.

Namun demikian, dengan pelbagai poll, survey dan analisis, sejak akhir-akhir ini menyatakan terdapatnya kemerosotan besar dalam sokongan rakyat terhadap pemerintahan BN pimpinan Abdullah (khususnya di kalangan bukan Melayu), mungkinkah usaha Umno merapati PAS ini merupakan langkah desperate untuk menyelamatkan dirinya – seperti yang pernah dilakukan Mahathir dulu?

Dengan sokongan PAS, apakah Umno berharap akan dapat terus memperkukuh kedudukannya meskipun para penyokong parti-parti perkauman temannya (khususnya MCA dan MIC) telah berbondong-bondong lari meninggalkan parti-parti itu?

Jika itulah tujuan Umno, maka bagaimana pula sikap “hati terbuka” PAS terhadap overtures Umno itu dapat dihuraikan? Apakah usaha ini dikira akan menyelamatkan kuasanya di Kelantan yang kini dapat dipertahankannya hanya dengan bergantung pada kelebihan satu kerusi cuma?

Jika itulah tujuannya, maka bagaimanakah kini kedudukan cita-citanya terhadap beberapa negeri lain – Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang, dan mungkin Selangor juga? Bagaimana pula “status” kerjasamanya dengan Anwar Ibrahim dan PKR?

Saya tidak begitu yakin gerak geri politik jenis ini ada hubungannya dengan cita-cita muluk jangka panjang – demi kepentingan masa depan masyarakat Melayu-Islam, misalnya.

Namun, jika sekalipun kerjasama ini memang mempunyai natijah muluk yang demikian itu maka dari segi masanya pelaksanaan inisiatif ini cukup menarik kerana kita sekarang berada pada tahap percaturan politik perkauman yang sedang memuncak dan semarak.

Dengan inisiatif Hindraf baru-baru ini yang begitu tebal unsur dan nada perkaumannya, reaksi kelompok Melayu terhadap inisiatif itu juga kelihatannya bukanlah sekadar bertambah lantang tetapi bertambah nyaring juga nada perkaumannya – sebahagiannya kerana didorong dengan sedar oleh jentera spin Umno sendiri.

Apakah inisiatif PAS-Umno ini merupakan suatu gambaran tentang ciri dan citra percaturan politik perkauman negara ini untuk masa depan terdekat kita? Setelah ini apakah akan berlaku pula nanti inisiatif menyatukan orang Cina yang melibatkan kerjasama MCA, DAP dan Gerakan?

Setelah itu, terdapatkah pula kemungkinan untuk MIC, MIUP (parti Nallakaruppan) dan Hindraf sendiri untuk duduk semeja bagi membincangkan masa depan politik kaum India di Malaysia?

Demikianlah, saya berpendapat bahawa inisiatif ke arah hubungan yang lebih rapat dan lebih mesra antara PAS dan Umno ini merupakan suatu perkembangan yang amat menarik. Selalu timbul persoalan tentang kesannya terhadap suasana dan struktur politik negara ini, selain persoalan apakah tujuan tersirat dan natijah tersuratnya.

Selain itu, terdapat juga persoalan siapakah yang memperalatkan siapa dalam inisiatif tersebut – dan untuk tujuan apa inisiatif itu sebenarnya diusahakan?

sumber : http://mymassa.com/myvoice/index.php?itemid=91

Written by horizontimur

December 18, 2007 at 4:23 pm

Posted in Pick of The Day

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: