Horizon Timur

Discourse polemics mainly in Malaysia

1 Syawal, Hari Kemerdekaan Sedunia

leave a comment »

Ramadhan bukan sahaja dicipta Illahi bagi manusia menahan lapar dan dahaga, ia juga memberi kesempatan kepada manusia untuk berlatih berfikir sejenak sebelum melakukan sesuatu sama ada dari segi pertuturan atau perbuatan. Ini kerana ketika bulan ini, manusia terutama umat

Islam lebih self-concious terhadap apa yang mereka lakukan semata-mata untuk menghormati bulan mulia ini.

Di samping kesempatan yang diberikan oleh Al-Fatah untuk umat Islam beribadat, jumlah perkara mungkar danbeban perut yang kurang pada saban hari membolehkan orang-orang yang benar-benar menghayati dan memahami erti Ramadhan mula membebaskan pemikiran mereka daripada dijajah oleh kefasikan duniawi semata-mata. Manusia semakin alpa. Mereka semakin hanyut dengan keseronokan dunia yang dipromosikan oleh Barat. Sudahkah manusia lupa dengan peringatan Allah s.w.t. dalam surah al-‘Asr yang bermaksud;

Demi masa.

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Di mana-mana pun kita bercakap mengenai Islam. Kita merungut apabila ada orang mula memohon kepada mahkamah untuk digugurkan perkataan ‘Islam’ daripada kad pengenalannya, kita marah apabila kita tahu semakin ramai yang keluar Islam secara senyap-senyap ataupun terang-terangan, kita mula mahu mengamuk apabila kerajaan beri muka kepada penternak haram yang membela babi di atas tanah kerajaan, dan kita hampir mengamuk apabila dapat tahu bahawa bahan kimia yang membuatkan ayam daging cepat besar mengandungi unsur daripada babi (tetapi masih ramai yang makan ayam di sebalik boikot CUEPECS dan MTUC). Tetapi fahamkah kita apa yang cuba dimaksudkan dengan Islam? Apa yang cuba disampaikan oleh Islam?

Islam (اسلام) dari segi istilahnya bermaksud sejahtera (salam, السلام) yang juga membawa erti selamat. Tetapi selamat daripada apa? Pada pendapat saya Islam menyelamatkan manusia daripada khayalan dunia kebanyakan kita kejari. Akibat khayalan dunia inilah manusia semakin biadap. Contohnya, Amerika Syarikat menerjah Iraq dan Afghanistan bukan kerana apa tetapi kerana memerlukan minyak di sana. Mereka cuba menunjukkan kepada dunia bahawa Iran adalah the new Hitler kerana bimbangkan Iran akan mengganggu kerja-kerja ‘mencuri’ minyak dari Timur Tengah.

Kini, Myanmar bergolak pula. Kerana apa? Percayalah, ini semua angkara campur tangan Amerika secara sulit melalui ejen CIA mereka seperti mana yang berlaku di Tibet. Junta (ini adalah perkataan propaganda Amerika supaya pemerintah Myanmar kelihatan jahat) Myanmar tidak pernah menzalimi para sami. Kebiasaannya para sami ini tidak peduli keadaan sekeliling mereka asalkan mereka tidak diganggui. Mengapa pula mereka sanggup meninggalkan ritual sembahyang mereka hingga sanggup berprotes di jalanraya? Pasti ada yang ‘meracuni’ pemikiran mereka.

Cubaan campur tangan Amerika ini sebenarnya tidak asing kepada kita kerana ia hampir berjaya di negara ini. Mungkin semua tidak akan percaya apabila disebut nama Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai contoh terbaik bagi cubaan Amerika ini. 

Dato’ Seri Anwar (DSAI) seperti biasa akan terus menafikan dirinya sebagai ejen Amerika. Ya, itu benar. Beliau bukan ejen Amerika. Tetapi beliau sebenarnya telah digunakan oleh Amerika untuk mengganggu gugat keharmonian negara ini. Ini hanya kerana pentadbiran Amerika Syarikat tidak senang dengan bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 kerana kelantangan beliau di arena antarabangsa. Keberaniaan beliau mengkritik dasar luar negara Barat menyukarkan Amerika dan sekutunya menjajah dunia secara ‘terhormat’.

Ramai yang tidak sedar perkara ini, lantas menuduh melulu bahawa isu sengaja dipropagandakan oleh kerajaan. Kita semua perlu membuka minda kita dan melihat dari luar kotak (see from outside the box). Mungkin DSAI difitnah meliwat tetapi bagaimana pula dengan salah guna kuasa beliau. Mengapa semasa berjawatan tinggi dahulu beliau tidak pernah mendedahkan rakan-rakan BN beliau, tetapi apabila sudah ‘dibuang’ barulah sibuk menunding jari ke sana dan ke mari mengatakan orang itu rasuah, ini rasuah. Kita semua tahu bahawa rasuah telah berlaku lama dahulu sejak sebelum Parameswara datang ke Melaka lagi. Mengapa beliau mudah mendapat simpati dari negara luar terutama Barat padahal sebelum ini dunia Barat kurang menyenangi Malaysia. Rakyat negara Barat juga sama seperti kita. Jika dibangkitkan isu Palestin, rata-rata akan membenci seluruh Amerika termasuklah rakyatnya yang tidak tahu apa-apa. Walaupun yang jahatnya hanyalah pentadbiran kerajaan Amerika itu sahaja (Presidennya tidak jahat tetapi bodoh), rakyatnya juga terpalit dengan dosa kerajaannya. Begitu juga dengan rata-rata rakyat Barat yang kurang senang dengan Malaysia (terutama zaman Tun M) akibat propaganda kerajaan mereka yang tidak menyukai kelantangan Tun M. Padahal, ramai rakyat negara ini sendiri yang bukan sahaja tidak tahu malah tidak ambil kisah tentang apa sahaja yang diucapkan oleh pemimpin negara di mana-mana pentas dunia termasuk jugalah di dalam negara.

Kelmarin, agenda human rights dicanang Barat dengan tujuan menghiruk pikukkan suasana politik di negara ini. Ramai yang terpedaya. Ramai yang menjadi mangsa. Akibatnya, ramai juga yang dipukul FRU kerana kononnya diri itu Badang, tak lut senjata. Jika anak-anak kecil tidak mendengar kata walaupun telah dimarahi berulang kali, pasti anak-anak itu ditarik telinga atau dicubit-cubit ibubapanya. Begitu juga dengan pihak FRU, mereka telah diarahkan untuk memastikan suatu kawasan itu tidak ada perhimpunan haram, maka telah disuruh bersurai berulang kali tetapi akibat kebodohan rakyat kita yang cepat percaya kepada propaganda Barat sanggup dipukul seperti binatang oleh FRU. Jangan lupa bahawa orang-orang yang dikerjakan oleh FRU ini juga jahat mulutnya sehingga datuk nenek seketurunan anggota FRU disamakan dengan babi. Sekurang-kurangnya anggota FRU dapat bersabar sehingga diarahkan  untuk ‘tidak bersabar’. Kalau kita ditempat mereka, bagaimana pula?

Kita lupa bahawa setiap negara di dunia ini mempunyai cara yang tersendiri. Setiap bangsa itu mempunyai tradisi dan cara hidup masing-masing. Terlupakah kita akan hakikat ini? Inilah acuan Malaysia. Inilah negara kita. Jika kita mahu hidup seperti rakyat Amerika, bukannya susah untuk pergi bermastautin di sana. Tetapi kita memilih untuk hidup di sini. Maka redhalah dengan batasan di sini. Kita pasti marah sekiranya tetamu kita membuat sesuka hatinya di rumah kita tanpa menghormati kita sebagai tuan rumah. Habis perhiasan rumah kita dikritiknya. Perabot kita dikatakan old fashion. Makanan kita dikatakan tidak mencapai tahap standardnya. Kita dikatakan bodoh kerana tidak ikut serta dengan gaya hidupnya. Tidak ‘angin’kah kita? Begitu juga dengan negara ini. Kita diperkotak katikkan oleh Barat tetapi tidak sedar. Siapa yang bodoh sekarang ini?

Kini, Barat cuba menekan kita dengan propaganda save the world pula. Kita dikritik kerana kita dikatakan tidak mengawal penebangan hutan kita. Kita dituduh membuang sisa hidupan kita (sampah dan bahan kumuhan) secara tidak terancang. Dan ini menyebabkan fenomena global warming. Negara-negara yang membangun seperti Malaysia ini baru sahaja mengeksploitasi hasil muka bumi ini. Negara kita baru sahaja 50 tahun merdeka. Indonesia, 62 tahun. Timor Leste, tidak sampai lima tahun. Tetapi Britain, Perancis dan Amerika sudah berapa ratus tahun? Mustahil kota Paris, London dan New York itu asalnya tanah lapang tanpa sebarang tumbuhan. Baca kembali sejarah maka akan tahulah kita berapa juta tan pokok ditebang tanpa ditanam semula di negara-negara Barat yang kononnya negara maju.

Malaysia turut menjadi sasaran Amerika yang kononnya bersama-sama menyebabkan fenomena global warming salah satunya kerana saingan hasil kelapa sawit terhadap hasil kacang soya mereka. Penanaman kelapa sawit dikatakan tidak dapat mengimbangi kitaran semula jadi alam sebagaimana yang telah dapat dilaksanakan oleh hutan belantara sebelum ditebang dahulu. Kritikan seperti ini langsung tidak masuk akal kerana pokok kelapa sawit juga adalah tumbuhan yang akarnya kuat memegang tanah dan daun-daunnya berupaya menyerap gas karbon dioksida pada siang hari untuk membuat makanan secara fotosintesis yang menyebabkan gas oksigen yang lebih sejuk dibebaskan. Mungkin perlu juga dibawa para aktivis dan NGO alam semulajadi Barat terutamanya Amerika Syarikat untuk berkhemah beberapa hari di bawah pokok kelapa sawit dan getah. Mungkin kemudian baru mereka tahu betapa nyamannya berada di kawasan ladang-ladang berkenaan.

Apa yang penting  bagi kita terutama umat Islam adalah untuk sedar akan taktik Barat bagi membolehkan mereka menjajah kita. Kita sebenarnya sedang dijajah. Tidak perlu disebut lagi contoh-contohnya. Allah Yang Maha Kaya telah mengurniakan kita lima pancaindera untuk kita memahami dunia maka gunakanlah sebaik-baiknya. Tidak perlu bagi kita memecahkan diri kita kepada U atau P. Tuhan kita Satu. Rasul kita Satu. Agama kita Satu. Negara kita Satu. Tidak bolehkah kita berSatu demi persaudaraan kita. Sedarlah kita daripada belenggu penjajahan.

Semoga kehadiran Syawal ini benar-benar membebaskan kita daripada belenggu kedhaifan akal fikiran yang menyempit penglihatan kita selama ini. Ramadhan bukan hanya dianugerahkan untuk kita berpuasa, tetapi sebagai satu kesempatan untuk kita berfikir dengan lebih sempurna. Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri ke 1428 dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Dunia.

Written by horizontimur

October 13, 2007 at 12:30 am

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: